K
UALA LUMPUR, 22 NOV 2011: Semakin hampir dengan penghujung tahun 2011, semakin kencang gosip yang bertiup mengatakan pasangan yang sedang asyik dilamun cinta, iaitu pengarah popular, Yusry KRU dengan kekasih hatinya, Lisa Surihani bakal melansungkan perkahwinan tidak lama lagi.
Yusry KRU dan Lisa Surihani dikatakan bakal berkahwin pada Februari tahun depan. Gosip tersebut mula tersebar berikutan khabar angin yang mengatakan stesen televisyen berbayar Astro telah pun mendapatkan hak penyiaran majlis gemilang tersebut.
Enggan mengiya atau menafikan tarikh tersebut merupakan detik penyatuan mereka berdua, jelas Lisa Surihani, pengumuman mengenainya akan dibuat sendiri oleh Yusry KRU sedikit masa lagi.
“Saya rasa lebih elok sekiranya pertanyaan mengenai perkahwinan kami itu dijawab oleh Yusry. Malah dia telah pun berpesan kepada saya bahawa dia sendiri akan menjawab mengenai isu perkahwinan kami.
“Cuma beri dia sedikit masa lagi kerana sekarang dia sedang sibuk menyiapkan filem Vikingdom. Jadi selepas dia menyelesaikan penggambaran filem tersebut sekitar bulan depan, bolehlah anda semua bertanyakan hal tersebut
kepadanya,” katanya kepada portal murai.com.my ketika ditanya mengenai isu perkahwinannya.
Menepis dakwaan jawapannya itu sebagai alasan untuk melarikan diri daripada menjawab persoalan pihak media,
kata Lisa Surihani, tidak manis sebagai seorang wanita menwar-warkan kepada umum mengenai perkara tersebut.
“Jawapan yang saya berikan tadi bukanlah untuk melarikan diri daripada soalan anda semua. Cuma sebagai wanita
tak manis sekiranya saya yang membuat pengumuman. Lagipun dia dah berpesan kepada saya biar dia yang
memberitahu kepada umum, jadi kita tunggu sahajalah bulan Disember depan,” ucapnya sambil tersenyum manis.
Saling mengenali tidak sampai setahun, namun tutur aktres berusia 25 tahun ini, itu bukanlah alasan untuknya menolak Yusry sebagai peneman hidupnya.
“Kami saling mengenali tidak sampai setahun. Tapi itu bukan alasan kami tidak boleh mengakhiri perhubungan ini ke fasa perkahwinan. Kerana sebelum ini saya sendiri pernah terlibat dalam hubungan cinta selama lapan tahun dan akhirnya hubungan itu putus.
“Bagi saya masa bukanlah ukuran untuk menilai sesebuah perhubungan itu. Selagi kita bersama orang yang kita sayang, kita tidak akan pernah berhenti daripada terus mengenali dirinya. Jadi kalau kita kenal hanya sekejap dan berkahwin, kita masih boleh mengenalinya lagi selepas itu.Malah saya sendiri sudah bersedia untuk bergelar isteri,” jelasnya yang menyasarkan usia 24 tahun untuk menamatkan zaman bujangnya namun tidak kesampaian.
Bakal terlibat dengan dua buah projek filem bersama KRU Studio iaitu Tingkat 4 dan Ular, anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini, menafikan sekeras-kerasnya hubungannya sebagai kekasih hati Yusry, penyebab dia ditawarkan tawaran tersebut.
“Saya bakal terlibat dengan KRU Studio untuk dua buah filem iaitu Tingkat 4 dan Ular. Saya tahu ramai yang akan membuat andaian kerana saya mempunyai hubungan cinta bersama Yusry menyebabkan saya ditawarkan projek tersebut.
“Itu tidak benar sama sekali kerana pembabitan saya dalam dua buah filem berkenaan tidak disebabkan oleh Yusry. Saya ditawarkan membintangi filem itu kerana watak yang dicipta bersesuaian dengan diri saya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan